Pemuda Bani Tamim?

 

Sabda Nabi SAW, “Akan keluar orang-orang dari Timur, lalu mereka mempersiapkan untuk Imam Mahdi, yakni tapak pemerintahannya.” (Ibnu Majah)
Putera Bani Tamim atau Pemuda Bani Tamim adalah suatu gelaran yang senantiasa menggentarkan hati setiap pemerintah yang zalim, sejak dari zaman pemerintahan Islam hinggalah ke hari ini. Ini dengan mudah dapat difahami kerana setiap kali nama itu disebut, setiap kali itulah akan terasa kepada pihak pemerintah bahawa kedudukan mereka akan tergugat, dan kekuasaan mereka akan beralih tangan. Namun benarkah demikian? Siapa yang mengatakan demikian sehingga diyakini sangat oleh para pemerintah sejak dulu-dulu lagi? Apa yang ditakutkan sangat terhadap diri Putera Bani Tamim itu sehingga dianggap sedemikian rupa? Sabda Nabi SAW, “Al-Mahdi akan datang setelah muncul Panji-panji Hitam dari sebelah Timur yang mana pasukan itu selalu tidak pernah kalah dengan pasukan mana pun. (Ibnu Majah)
Beliau ialah seorang pemimpin yang dijanjikan untuk persiapkan tapak perjuangan atau wadah bagi Imam Mahdi. Beliaulah yang bertanggungjawab melahirkan para pejuang yang akan dilayakkan bersama Imamul Ummah ini. Dikatakan tidak pernah kalah kerana perjuangannya sentiasa bersambung walaupun cuba dihancurkan. Tidak kalah walaupun musuh menggoncang habis-habisan dari luar dan dalam. Malah, perjuangannya memberi bekas kepada masyarakat walaupun diuji. Ini kerana perjuangan itu telah dijanjikan Allah untuk melepasi segala ujian dengan izin-Nya.
Putera Bani Tamim adalah gelaran kepada seorang lelaki yang tugas utamanya adalah membantu menaikkan Imam Mahdi sebagai pemerintah seluruh umat Islam. Disebutkan Bani Tamim kerana Nabi Muhammad saw sangat memuliakan nasabnya dan untuk mengiklankan dirinya sebagai salah seorang pemimpin umat pada akhir zaman. Imam At-Tabrani menyatakan: “Bani Tamim terkenal dengan tetap pendirian, berjiwa besar, jelas cita-cita, amat memusuhi Dajjal diakhir zaman, cukup tahan menghadapi apa saja halangan. Bani Tamim tidak akan tergugat dengan sebarang halangan, ancaman dan penentangan dari mana-mana pihak yang mahu memudharatkan perjuangan mereka”. Dari sini jelaslah mengapa baginda menggelarkan Pemuda Bani Tamim. Telah Allah janjikan kepada Nabi Muhammad kawan (pembantu) dari Bani Tamim juga iaitu Saiyidina Abu Bakar Assiddiq. Maka salinan baginda saw iaitu Imam Mahdi juga dijanjikan seorang pembantu dari Bani Tamim juga iaitu Pemuda Bani Tamim yang memegang panji-panji Al-Mahdi, atau ertikata yang lain mempersiapkan perjuangan Imam Mahdi.
Namun jarang sangat ada orang yang mengaku dirinya sebagai Putera Bani Tamim, sedangkan yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi sangatlah ramai. Memang rugi kalau seseorang itu mengaku dirinya sebagai Putera Bani Tamim, kerana dia mendapat kuasa pemerintahan tetapi tidak dapat dimilikinya, diserahkannya kepada orang lain iaitu kepada Imam Mahdi. Pada perkiraan orang ramai dan pemerintah hari ini, orang yang mengaku dirinya sebagai Putera Bani Tamim adalah orang yang paling bodoh di dunia ini.
Dari Abdullah bin al-Haris bin Jaz-uz Zabidi RA katanya, Nabi SAW telah bersabda, “akan ada orang-orang yang keluar dari sebelah Timur, lalu mereka mempersiapkan segala urusan untuk al-Mahdi, yakni pemerintahnya.” (Ibnu Majah)
Sangat jelas dari hadis diatas, Pemuda Bani Tamim atau Putra Bani Tamim inilah yang bersusah payah dan menanggung segala macam penderitaan yang berat-berat, namun yang mendapat hasilnya adalah orang lain, iaitu Imam Mahdi. Dia yang susah payah mendirikan pusat pentadbiran dan pemerintahan, tiba-tiba yang memerintah adalah orang lain, bukan dia sendiri. Melakukan tugas yang amat besar dan berat inilah yang tidak tersanggup oleh sesiapa pun jua, melainkan oleh orang benar-benar disebutkan sebagai Putera Bani Tamim saja. Hanya dia seorang sajalah yang sanggup dan mampu berbuat demikian kerana dialah yang disebut oleh baginda SAW dalam banyak hadisnya.
Dari Tabrani dalam Al Ausat, dari Ibnu Umar bahwa Nabi SAW telah mengambil tangan Ali dan bersabda : “Akan keluar dari sulbi ini pemuda(Ali) yang memenuhi dunia dengan keadilan (Imam Mahdi). Bilamana kamu melihat yang demikian itu, maka wajib kamu mencari Putera Bani Tamim (dari keturunan Abu Bakar), dia datang dari sebelah Timur dan dia adalah pemegang panji-panji Al Mahdi”. (dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti).
Memang jika dinilai dari segi lahirnya, begitulah keadaannya dan begitulah hakikat yang berlaku. Memang telah ditentukan bahawa Putera Bani Tamim itu adalah orang yang benar-benar pejuang, berjuang untuk orang lain dan berjuang untuk Islam, tidak ada kepentingan peribadi walau sebesar sayap nyamuk. Ini dengan mudah dapat difahami oleh kita jika kita benar-benar menghayati maksud hadis-hadis yang menceritakan tentang diri beliau.
Kelebihan beliau yang satu ini tidak mungkin akan dapat dipikul oleh siapa pun, melainkan beliau seorang saja. Hanya orang yang benar-benar berjuang untuk menaikkan Islam itu ke tempatnya yang mulia saja yang tidak mengira hasil akhir dari perjuangannya, baik untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain yang diyakininya lebih baik daripada dirinya sendiri. Mana ada pejuang Islam sekarang atau pemimpin dunia hari ini yang mampu berbuat seperti itu?
Bagaimana hal ini dapat berlaku? Jawabnya, kerana beliau seorang yang amat ikhlas dalam perjuangannya. Hanya orang yang ikhlas dalam perjuangannya saja yang mampu berbuat demikian. Lihatlah bagaimana Sayidina Khalid bin al-Walid RA semasa dilucutkan daripada jawatannya sebagai pemimpin tertinggi angkatan tentera dan menjadi seorang parajurit atau tentera biasa saja oleh Sayidina Umar RA. Hatinya langsung tidak berubah dan perjuangannya tetap kental seperti biasa. Malah dia tetap setia melakukan kerja Islam, perang bukan setiap hari, tetapi perperangan melawan hawa nafsu berlaku setiap saat. Beliau telah membuktikan ikhlas dalam berjuang.
Begitu juga dengan halnya Putera Bani Tamim ini. Sedangkan gelaran-gelaran lain seperti ikhwan atau asoib itu adalah tawaran, boleh diberikan kepada sesiapa dan boleh juga Allah tarik kembali. Beliau berjuang bukan untuk dirinya tapi untuk Imam Mahdi. Malah keluarganya juga dipersiapkan untuk kedatangan Pemimpin Ummah tersebut, begitu juga perjuangannya. Pemuda Bani Tamim ini bukan sahaja persiapkan anak didiknya dalam jemaahnya, malah beliau mendidik dan mengajar sebahagian daripada mereka yang dipersiapkan untuk bersama memeriahkan kedatangan Imam Mahdi. Memang telah dijanjikan Putera Bani Tamim akan membela Ahlul Bait, membela Imam Mahdi. Itulah perjuangannya, tidak memberikan keuntungan dunia untuknya tapi membawa keamanan kepada umat Islam. Kerana perjuangannya dan pengorbanannya hanyalah untuk memperkenalkan Imam Mahdi kepada manusia.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s